Tuesday 17 September 2013

Bersihkanlah Hati kita

Didalam tubuh manusia terdapat segumpal darah iaitu hati. Apabila hati itu baik, maka baiklah keseluruhannya, dan sebaliknya apabila hatinya jahat, maka jahatlah keseluruhannya.

Hati adalah penentu kualiti diri seseorang. Oleh kerana itu, bagi memperbaiki manusia secara keseluruhan terletak pada keberkesanan kebaikan hatinya. Pembinaan dan pendidikan diri manusia tidak beerti apabila tidak diikuti dengan pembinaan hati. Keberkesanan pembinaan kualiti diri manusia bergantung pada kejayaan pembinaan hati seseorang itu. Tidak ada maknanya sekira dikurniakan tubuh badan yang sihat tetapi tidak pada hatinya.

Segala apa yang kita lakukan adalah terletak pada niat dan hati. Apabila niatnya ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, amalannya adalah tinggi nilainya. Sebaliknya jika niat itu lari dan hanya inginkan pujian semata dari orang dan bukannya kerana ingin mendapat keredaan Tuhan, maka amalannya adalah tidak bernilai sama sekali. Ketahuilah bahawa niat yang baik terletak pada hati kerana hati yang bersih menghasilkan niat yang ikhlas. Daripada niat yang ikhlas melahirkan kekuatan yang begitu besar.

Hati adalah tempat tersimpannya iman. Apabila hati kita bersih, pasti iman dapat kekal didalamnya. Keimanan tidak dapat bertahan lama dan tidak hadir pada hati yang kotor. Keimanan hanya kekal pada hati yang bersih. Berusahalah membersihkan hati dengan berzikir, merenung dan mengkaji tanda-tanda kekuasaan Allah dalam setiap perkara. Latihlah hati menerima dan menterjemah hikmah daripada setiap sesuatu kejadian dikeliling kita kerana hanya dengan ini hati akan sentiasa hidup dan bebas daripada segala penyakit hati.

Ikhlaskan Hati

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam hadis Qudsi yang bermaksud :- 


“Sudah pastilah kecintaan-KU itu untuk orang-orang yang saling ziarah menziarahi kerana AKU. Sudah pasti pula kecintaan-KU untuk orang yang saling cinta menyintai kerana AKU, sudah pasti pula kecintaan-KU kepada orang-orang yang saling bantu membantu kerana AKU. Juga sudah pastilah kecintaan-KU untuk orang yang saling tolong menolong kerana AKU.” -Riwayat Ahmad dan Hakim. 


Sesungguhnya sifat ikhlas akan memberikan kesegaran kepada jiwa, keikhlasan memberi dan menerima dalam apa jua bentuk pertolongan atau pemberian dari setiap individu muslim itu. Sifat ikhlas itu perlu disemai sejak kecil lagi, kerana keikhlasan itu membuat hati kita gembira dan tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tatkala hati dirundung sedih, hati akan tenang kerana keikhlasan dan keredhaan yang tersemai didalam diri. Ketika hati diterjah kegembiraan, ada kesyukuran meniti dibibirnya. 

“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” -(Riwayat Abu Hasan Al Basri)


Kerana ikhlas satu rahsia Allah, tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kala susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. Kita tidak boleh mengatakan diri kita ikhlas “saya ikhlas”. Ikhlaskah kita sebenarnya?? 

Kerana ketidak ikhlasan dalam diri, jiwa akan menjadi rosak dan berdendam, berdendam sememangnya dilarang dalam Islam. Keikhlasan bukan sahaja memberi kesegaran kepada jiwa, tetapi boleh membuatkan anda bertambah taqwa kepada Allah SWT. 

Oleh itu, kebersihan hati hanya boleh dicapai dengan iman dan taqwa kepada Allah SWT, dengan secara langsung keikhlasan akan terpancar di jiwa. Lakukan sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, berilah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas bukan dengan ada sebab lain. Harapkan belas ihsan dari Allah semata2. Nescaya lebih keberkatan didalamnya.