Tuesday 19 March 2013

Perjalanan Sebuah Kehidupan


Perjalanan hidup ini tiada siapa yang dapat meramalnya. Keindahan pentas dunia, sering kali mengkhayalkan para pelakonnya daripada menjiwai watak sebenar sebagai seorang hamba-Nya. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 14, yang bermaksud:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada syahwat (perkara yang diingini nafsu), iaitu wanita-wanita, anak-pinak dan harta benda yang banyak melimpah-limpah berupa emas, perak, kuda-kuda yang dipelihara yang bertanda serta baik, binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Demikian itu merupakan kesenangan hidup di dunia. (Ingatlah) Di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).”


Disepanjang hayat sejarah kemanusiaan, dalam tamadun mana sekalipun, meski apa darjatnya, meski sebayak mana sekalipun kekayaan hartanya, yang mempercayai kewujudan Tuhan ataupun tidak, seluruh kelompok manusia kesemuanya tidak akan mampu menafikan satu hakikat yang nyata, iaitu maut. Sesungguhnya, seluruh manusia akan melalui episod yang sama pada akhir ceritera hidupnya dengan menemui ajalnya. Setiap yang bernyawa akan merasai mati (rujuk: Surah al-Imran, ayat 185).

Tidak ada yang perlu dibanggakan dalam hayat kehidupan di dunia ini, kerna segala-galanya hanyalah bersifat sementara. Hayati firman Allah azza wa jalla dalam surah Yunus ayat 24, yang bermaksud:
“sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah (dengan suburnya) tanam-tanaman di bumi daripada jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang ternakan. Hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan pendudunya pun menyangka bahawa mereka pasti menguasainya (dapat mengambil hasilnya), tiba-tiba datang perintah Kami (menimpakan bala bencana) pada waktu malam atau pada siang hari, lalu Kami jadikannya hancur-lebur bagaikan tanaman yang sudah dituai, seolah olah tidak tumbuh semalamnya. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami satu persatu kepada kaum yang mahu berfikir.”


Dalam kehidupan manusia segenap lapisan masyarakat, tersemat disanubari satu lagi hakikat yang sering didambakan dan yang tidak dapat disembunyikan buat selama-lamanya sampai akhir usia dunia, iaitu apa yang dinamakan sebagai kebenaran. Sebagaimana manusia tidak dapat lagi menafikan kehadiran maut, demikian juga manusia tidak akan dapat mendustakan kebenaran. Setelah maut memisahkan jasad dan nyawa, maka manusia akan melihat kebenaran yang jelas nyata. Sesungguhnya kebenaran itu adalah disisi Tuhan Yang Maha Esa.

Apabila seseorang itu tidak “menemui” Tuhan atau tidak ada hubungan dengan Tuhan (habluminallah), maka perjalanan hidup yang luas ini terasa sempit baginya dan tidaklah kehidupan ini mampu memberi apa-apa makna dalam hayat hidupnya. Percayalah, tidak ada apa-apa yang hilang disisinya apabila dia ada Allah (beriman kepada Allah), dan tidak ada apa-apa yang dijumpainya atau diperolehinya apabila tidak ada iman dalam hatinya kepada kebesaran kerajaan Allah tabaraka wa taala.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah suatu keajaiban. Maka, lihatlah kehidupan ini dengan kaca mata yang benar dalam aspek mencari kebenaran, akur kepadanya serta mempertahankannya sehingga hembusan nafas yang terakhir.

Rasulullah saw pernah mengkhabarkan perihal bagaimana kejadian manusia diciptakan secara berperingkat dengan begitu menakjubkan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka, dari sahabat Abdullah bin Mas’ud ra menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya setiap daripada kalian dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya berbentuk nuthfah (setitis air mani) selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi bentuk ‘alaqah (gumpalan darah) selama masa itu (40 hari), kemudian menjadi mudhghah (gumpalan daging) selama masa itu (40 hari) pula. Kemudian diutus kepadanya Malaikat, lalu ditiupkan kepadanya roh dan dia (Malaikat) diperintahkan untuk menulis empat perkara (terhadapnya); menulis rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya.”

Setelah peringkat-peringkat penciptaan ini menyempurnakan kejadiannya, maka lahirlah makhluk yang bernama manusia dalam alam dunia. Ketika manusia dilahirkan, dia tidak ada sebarang pengetahuan mengenai kehidupan ini malah dia tidak mengerti akan tujuan penciptaannya di atas permukaan bumi. Namun, hari berganti hari, tahun berganti tahun, manusia membesar secara berperingkat pula lalu menafsirkan hidup ini melalui peristiwa demi peristiwa yang Allah tabaraka wa taala membawanya dengan penuh hikmah.

Sewaktu perkhabaran Rasulullah saw ini, era Baginda saw beserta para sahabah belum ada sebarang teknologi yang canggih untuk mengkaji serta menjalankan penyelidikan berhubung peringkat-peringkat kejadian manusia. Sungguh, para profesor dunia Barat baru mengetahui hal ini hanya belakangan ini sahaja itupun dengan melalui kajian-kajian yang mendalam beserta bantuan alatan-alatan teknologi moden abad ke-20.

Kebenaran tetap kebenaran meskipun memerlukan berabad lamanya untuk dibuktikan kebenarannya. Namun, ketika Rasulullah saw mengungkapkan perkara ini pada eranya, Baginda saw dikatakan oleh bangsanya sendiri sebagai seorang ahli sihir sesat malah ada yang mengatakannya seorang yang gila! Sekarang lihat, pihak yang mana yang benar-benar diatas jalan kebenaran dan pihak yang mana yang menyalak laungan pendustaan.

Beberapa faedah yang dapat kita peroleh melalui hadis ini. Pertama, berimanlah seteguhnya dengan kebenaran yang dibawa dan jangan sesekali terpengaruh dengan ideologi masyarakat sekeliling yang kebanyakkannya bersimpang daripada landasan kebenaran. Sememangnya dunia akhir zaman ini telah menjadikan golongan-golongan yang membawa kebenaran sebagai “golongan yang asing”. Sungguh, agama ini datang dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing. Maka teguhkanlah semangat perjuangan demi mendaulatkan ketulenan agama yang suci ini.

Kedua, hadis ini menjadi salah satu dalil yang menunjukkan bahawasanya setiap perkataan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah saw adalah daripada Allah azza wa jalla. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran al-azim bahawasanya setiap yang diperkatakan oleh Muhammad itu tidak lain adalah wahyu daripada-Nya dan bukan pula mengikut hawa nafsunya.
Logik akal mengatakan, mana mungkin seorang manusia yang tidak tahu membaca dan menulis mampu mengkhabarkan peringkat-peringkat kejadian manusia secara terperinci tanpa sebarang bantuan teknologi moden melainkan diberitakan kepadanya oleh Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ketiga, hadis ini menjadi dalil bahawa roh manusia ditiupkan oleh Malaikat setelah 120 hari dalam kandungan. Daripada hadis ini juga para sarjana mengambil hukum, mengeluarkan fatwa lalu menyelesaikan beberapa masalah.
Contohnya, apabila terjadinya keguguran setelah 120 hari dalam kandungan (setelah roh ditiupkan), maka mayat bayi itu harus dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan ditanah perkuburan Islam. Bahkan harus diberi nama dan diadakan aqiqah untuknya, sebab bayi itu telah menjadi manusia yang sempurna dan tetap atasnya hukum orang dewasa dalam hal ini.

Keempat, hadis ini juga menunjukkan betapa Allah tabaraka wa taala meletakkan perhatian-Nya keatas hamba-hamba-Nya yang kerdil ini. Betapa Allah sangat-sangat teliti terhadap ciptaan-Nya sehingga meletakkan tugas khas kepada sebahagian Malaikat-Malaikat-Nya untuk mengawasi manusia ketika dalam kandungan ibunya, juga mengutuskan Malaikat ketika ia lahir kedunia, demikian pula ada Malaikat yang diutus untuk menutup tirai lakonannya diatas pentas dunia yang fana. Ini semua menunjukkan betapa besar perhatian Allah taala kepada kita meskipun sebilangan hamba-hamba-Nya sering melupakan-Nya. (Pesanan untuk diri penulis dan pembaca yang mulia.)

Kelima, bahawasanya rezeki, ajal, amal, dan kecelakaan atau kebahagiaan seseorang telahpun ditulis dan hal ini menafikan ideologi sebahagian kelompok yang menyatakan bahawasanya Allah tidak tahu apa yang makhluk bakal lakukan melainkan setelah perkara itu telah dilakukan oleh makhluk-Nya. Sungguh keji perkataan mereka.
Jika ada yang bertanya: Seandainya segalanya ini telah dituliskan, adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha untuk mendapatkan rezeki? Maka katakanlah kepada orang itu bahawa kita diperintahkan untuk berusaha. Sesungguhnya, manusia manapun tidak ada yang tahu akan apa yang telah dituliskan untuk dirinya. Kerana itu, kita hanya diperintahkan untuk berusaha mendapatkan apa yang bermanfaat untuk kita dan menjauhi dari apa yang membahayakan kita.

Dalam hadis yang sama, Rasulullah saw melanjutkan ucapannya:
“Demi Allah yang tidak ada Tuhan yang berhaq diibadahi dengan benar selain-Nya, sesungguhnya ada diantara kalian yang beramal dengan amalan ahli Syurga sehingga jarak antara dirinya dengan Syurga tinggal sehasta, akan tetapi ketentuan (takdir) telah mendahuluinya kemudian dia beramal dengan amalan ahli Neraka, maka masuklah dia kedalam Neraka. Dan sesungguhnya diantara kalian ada yang beramal dengan amalan ahli Neraka sehingga jarak antara dirinya dengan Neraka tinggal sehasta, akan tetapi ketentuan (takdir) telah mendahuluinya kemudian dia beramal dengan amalan ahli Syurga, maka masuklah dia kedalam Syurga.”

Seandainya dia mengerti bahawasanya tidaklah Allah menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Nya, maka selamatlah dia dengan kebenaran kalamullah itu. Kontradiksinya, jika dia gagal untuk menghayati kebenaran agama yang suci ini (Islam), dukacitalah dipengakhiran hayatnya diabadikan dalam Neraka. (Semoga Allah memelihara kita semua).

Lanjutan hadis ini menjelaskan kepada manusia, bahawasanya diakhir ceritera anak cucu Adam terdapat dua kemungkinan, iaitu sengsara atau bahagia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 105 yang bermaksud:
“Maka diantara mereka ada yang celaka dan ada yang bahagia.”
Firman-Nya lagi dalam surah at-Taghaabun ayat dua yang bermaksud:
“Dia-lah yang menciptakan kamu maka di antara kamu ada yang kafir dan di antara kamu ada yang mukmin.”
Pohonlah kepada Allah agar Dia menjadikan kita semua termasuk golongan yang diredhai-Nya, yang dapat mengecapi nikmat kebahagiaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Bahagian kedua dalam hadis ini membawa satu pesanan yang amat menggugat jantung hati manusia. Antaranya, kita diperintahkan untuk istiqamah dalam urusan kehidupan. Sesungguhnya istiqamah bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan meskipun ringan di lidah yang mengungkapkan.
Bayangkanlah, betapa rugi insan yang sepanjang hayatnya beramal dengan amalan ahli Syurga namun dihujung persimpangan hayatnya dia beramal dengan amalan ahli Neraka, maka tergelincirlah dia kedalam Neraka kerana tidak istiqamah beramal dengan amalan ahli Syurga. Disini, wujud kepentingan untuk terus teguh istiqamah beramal dengan amalan-amalan yang diredhai-Nya kerna kita tidak tahu bila nyawa kita akan diambil oleh Malaikat Maut.
Demikian juga sebaliknya, kita tidak boleh untuk menghukum seseorang yang sering melakukan kejahatan dan kemungkaran disepanjang hayatnya. Siapa tahu, mungkin diakhir-akhir hidupnya dia mula insaf dan mula beramal dengan amalan ahli Syurga lalu dia dimasukkan dengan rahmat Allah ke dalam Syurga?

Harus diingat, untuk memperoleh hidayah Allah atau mencari petunjuk Allah swt adalah lebih mudah jika dibandingkan untuk teguh istiqamah diatasnya. Perlaksanaan istiqamah ini secara tidak langsung menuntut kita untuk berada tetap diatas landasan kebenaran yang lurus sehingga diakhir persimpangan kita menemui ajal. (Mudah-mudahan hayat kita ditutup dengan kebaikan.)

Dalam aspek kelangsungan dakwah, contohilah Nabi Nuh as yang istiqamah dengan agenda dakwahnya selama hampir seribu tahun. Sebagaimana diberitakan dalam al-Quran, Nabi Nuh as berkempen siang dan malam dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah dakwah. Namun, apa kata Nabi Nuh as? Katanya, tidaklah bertambah jumlah orang yang mahu menerima dakwahnya melainkan mereka lari daripadanya. Mereka tutup telinga dengan jari-jemari mereka dan mereka tutup kepala mereka dengan pakaian mereka tanda protes dengan dakwah Nabi Nuh as. Itupun Baginda as tidak berputus asa menggerakkan dakwahnya di atas muka bumi ini.


No comments:

Post a Comment