Monday 22 July 2013

Didik SabarMu Dalam Ramadhan...

Sabar dari segi bahasa bermaksud menahan atau mengekang...Dari segi istilah pula membawa maksud menahan atau mengekang diri daripada keluh kesah dan sedih dalam menghadapi sesuatu yang tidak disukai...Antonim bagi sabar adalah sedih dan keluh kesah...
“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.”[Ali Imran, 3:200]
Dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian;
  1. Sabar dalam menunaikan perintah Allah
  2. Sabar dalam meninggalkan larangan Allah
  3. Sabar dalam menghadapi ujian daripada Allah
Menurut Imam al-Ghazali, sabar dalam menunaikan perintah Allah boleh dibahagikan kepada tiga iaitu sabar sebelum, semasa dan selepas mengerjakannya. Sabar sebelum ialah kita mampu menahan daripada godaan-godaan niat. Sering kali niat kita akan berselang-seli dengan pengharapan terhadap pujian, pengiktirafan dan balasan daripada manusia ketika melakukan sesuatu. Dengan penerapan sifat sabar sebelum, kita sepatutnya mampu membuang niat-niat lain selain daripada mengharapkan keredaan Allah semata-mata dalam sebelum mengerjakan perintah Allah.
Sabar yang kedua ialah sabar semasa melakukan ketaatan kepada Allah. Sabar ini menuntut kita supaya menahan diri daripada keluh kesah atau sedih dengan sebarang kepayahan, kesusahan dan kesulitan yang berlaku semasa kita mengerjakannya. Contohnya, ketika berpuasa tentulah kita berasa sedikit lapar, dahaga dan letih. Tambahan pula, kita terlarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang membatalkan puasa kita seperti memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan, muntah dengan sengaja dan sebagainya. Namun, kita perlu bermujahadah dengan bersabar dan meneruskan puasa kita sehingga waktu maghrib tiba.
Sabar yang ketiga ialah sabar selepas mengerjakan ketaatan kepada Allah. Sabar ini memerlukan kita menahan diri daripada bersifat syirik kecil iaitu riyak, ujub dan sum’ah. Riyak bermaksud suka menunjuk-nunjuk, ujub bermaksud berasa hairan(kagum) dengan kemampuan diri sendiri manakala sum’ah bermaksud suka mendengar pujian. Menurut Imam al-Ghazali, sabar pada peringkat ini adalah yang paling sukar.
Sifat sabar itu dikatakan adalah sumber kejayaan dan kekuatan orang Islam. Merujuk Surah al-Anfal ayat 65 yang berbunyi “Jika ada 20 orang yang sabar antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 200 musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan 1000 daripada orang kafir.
Sifat sabar juga boleh dibahagikan kepada tujuh pecahan mengikut kategori.
1. Sabar daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.
2. Sabar dalam menghadapi musibah. Sabar ini disebut sabar.
3. Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.
4. Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut shaja’ah (berani).
5. Sabar dalam mengekang marah. Sabar ini disebut al-hilm (lemah lembut).
6. Sabar menyimpan rahsia. Sabar ini disebut katm.
7. Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.
Jadi, secara kesimpulannya ternyata sifat sabar ini adalah sangat indah jika berjaya diterapkan ke dalam diri sepanjang menjalani kehidupan seharian, terutamanya ketika berada dalam bulan Ramadan penuh keberkatan ini. Selari dengan definisi puasa itu sendiri iaitu menahan diri, marilah kita sama-sama mendidik sabar (menahan) dalam diri masing-masing kerana sabar juga merupakan satu cabang muhajadah kita dalam mengerjakan ibadah puasa.
“ Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba.” [38:44]
“ Bersabarlah! Sesungguhnya Allah sentiasa berserta orang yang sabar.” [8:46]

No comments:

Post a Comment